Memandangkan dah ramai yang buat aktiviti travel, salah satu tempat yang agak tak popular tapi superb adalah Pekan Pahang. Korang patut masukkan dalam list travel korang sebab memang berbaloi datang sini. Sebenarnya Pekan ni tak pernah masuk list pun dalam list travel, roadtrip kami kalau berjalan. Kalau bagi pilihan Pekan atau Rompin, kami pilih Rompin lagi, tapi itulah rezeki nak sampai ke Pekan Pahang ni memang buka mata kami. Nama je Pekan, tapi Najib punya tempat ni memang bukan biasa-biasa ye. Dari Kuala Kangsar kami terus ke Seremban, Muadzam Syah, Rompin dan akhirnya sampai ke Pekan. Ikut plan asalnya nak bercuti kat Rompin repeat untuk kali kedua, tapi tukar plan terus ke bandar Pekan.
Pekan merupakan sebuah daerah, dan bandar diraja di Pahang, Malaysia. Ia terletak kira-kira 50 km dari selatan ibu negeri terkini iaitu Kuantan, berhampiran Laut China Selatan dan tebing selatan Sungai Pahang. Biasa kalau sampai Kuantan pun Pekan ni takkan ada tarikan rasa nak pergi. Bila sampai Pekan serasa seakan-akan berjalan-jalan kat Terengganu, ada vibes tu. Sebab tepi pantai, dan yang menariknya pantai kat sini landai dan seronok untuk anak main. Level pantai sini macam pantai Cherating gitu.
Masa kami sampai tu kebetulan minggu tu hujan je, panas sekejap-sekejap je. So kami terjah tempat yang sempat aje, pun tetap puas hati sebab sehari tu dah boleh cover banyak tempat, yelah bukan besar sangat bandar Pekan. Datang Pekan Pahang antara hotspot yang korang patut singgah antaranya
Pekan Riverfront
Masa kami sampai memandangkan sempadan negeri baru buka, aktiviti naik boat belum beroperasi sepenuhnya lagi, so tak dapatlah naik River Cruise ronda persisiran sungai Pekan, namun kat sini bolehlah lepak santai sambil makan-makan ambil angin tepi sungai. Kat sini pun banyak gerai makanan dan minuman juga kedai masakan Ikan bakar.
Pantai Air Leleh
Kalau berjalan dengan anak-anak tak sah pula kalau tak menyinggah pantai kalau ada pantai, kalau ada kolam wajib ke kolam. Antara pantai popular kat sini adalah Pantai Air Leleh. Tenang je sebab tak ramai orang. Nak mandi pun air ombak tak seganas ombak kat belah Pantai Timur so boleh berkelah makan-makan dan lepak main pasir juga pantai kat sini. Nak stay dekat area Pantai pun ada pilihan Chalet Casa D Bayu Roomstay, Homestay By The Sea, 79 Beach Homestay banyak lagilah stayroom yang tepi pantai. Kalau nak singgah makan kawasan pantai tu, singgahlah Dapur Mek Kelate dan Warung Cili Padi Serandu. Puas hati dan berbaloi makan.
Muzium Sultan Abu Bakar
Alang-alang dah sampai bandar Pekan, wajib singgah bergambar kat Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium ni betul-betul dekat tengah bandar, dekat dengan Pekan River Front. Lepas tu kalau nak ke Muzium Masjid Sultan Abdullah ala-ala Taj Mahal, jalan kaki je, semua tempat bersejarah ada berkumpul setempat je, senang gitu. Galeri Tun Teja pun kat sini.
Dah puas pusing kat tengah bandar bolehlah korang tuju ke Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi yang merangkumi Pusat Tenunan Sutera Pahang adalah destinasi utama bagi pengunjung yang ingin melihat sendiri bagaimana kain tenun dihasilkan dari awal hingga siap, jadi siapa yang berkenan tu boleh beli direct atau buat tempahan kat corak kan yang kita dah berkenan. Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak juga nyata menggamit hati, best kalau datang tempat cemni, ada inspirasi orang kata, terletak di Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi, rumah ini adalah rumah yang dibina semula mengikut reka bentuk asalnya oleh tukang yang mahir, teringat pula Galeri Tun Razak kat Kuala Lumpur, sana pun best juga. Datang sini rasa tak rugi sebab ada banyak tempat menarik satu-satu lokasi, dekat-dekat je.
Makan Sedap di Pekan Pahang
Kalau dah berjalan makan angin, tempat makan sedap pun jadi point untuk kita sampai kat sesuatu tempat kan? So nak menjamu selera kat Pekan Pahang ni takde hal, banyak sangat pilihan makanan, dan seleranya tak jauh beza dari selera belah Kelantan, Terengganu. Ada nasi kerabu, nasi minyak, nasi dagang, kat gerai tepi jalan pun banyak pilihan untuk makan pagi. Kalau tengahari cari makan dekat pinggir bandar banyak pilihan termasuk menu ikan patin di Warung Pekan Lama untuk hidangan makan tengah hari pasti tidak mengecewakan terutama bagi penggemar ikan patin dan makanan kampung, dah macam makan ikan Patin Temerloh dah.
Selepas kenyang makan tengahari bolehlah bungkus Murtabak Mengkasar. Kami tak makan kat kedai sebab perut dah kenyang sangat, hujan pula, tu yang malas nak turun bungkus makan lepak kat bilik je. Sedap juga murtabak Mengkasar ni, kalau kat Kelantan digelar Murtabak Diraja sebab ketebalan murtabak, samalah murtabak mengkasar ni ada keenakan tersendiri dan lebih tebal berbanding murtabak biasa kerana memiliki tiga lapisan tebal berinti daging dengan 21 jenis rempah-ratus berkualiti dan dimasak garing. Korang yang sukakan keju, boleh order murtabak Mengkasar ‘special’ memberikan rasa keju yang sedap dan tak muak pastinya. Antara tempat makan sedap di Pekan Warung Pekan Lama, Kedai Makan Warisan, Medan Ikan Bakar Kuala Pahang dan banyak lagilah pilihan bab makan-makan ni.
Penginapan Pekan Pahang
Nak datang Pekan Pahang bab penginapan janganlah risau banyak sangat pilihan tempat tidur termasuk yang 4 bintang iaitu Ancasa Royale antara hotel the best kat Pahang sebab di tepi Sungai Pekan. Kami cari bajet hotel berbintang 4 je,mana taknya bintang 4 dapat katil double complete everything dengan harga tak masuk akal, so our unplanned roadtrip kali ni sangatlah berbaloi. Untuk family besar macam kami memang perlukan Family room dah kalau pergi bercuti, tak kisahlah hotel bajet ke apa asalkan semua dapat tidur selesa atas katil, kalau hotel 5bintang katil pun tak boleh tambah, melainkan tambah bilik lain rasa tak berbaloi pulakkan. Just memikir plak camne eh orang lain tidur kat hotel standard/mewah yang ada katil king/queen satu tu? Kalau anak ada tiga pun dah tak muat, means ada yang kena tidur kat lantai? Ke camne eh? Adoii sibuk pulak memikirnya, wakakka.
So trip kali ni kami pilih untuk tidur kat Pekan Auto City Bajet Hotel. Nampak je luar macam bengkel kereta, tapi wallah kat dalam macam hotel 4bintang, puas hati bayar bermalam. Bajet tak bajet memang tu je matlamat nak tidur dengan selesa setelah melalui perjalanan yang panjang, takde yang kena tidur atas lantai, dah letih bontot duduk atas kereta, mestilah tidur pun nak selesa. Sekarang memang tu jelah point cari bilik kat mana-mana tempat bercuti, katil double mesti dua dan kalau lebih lagi bagus. Harga belakang kira dah asal memenuhi keperluan tidur. Gitulah bila keluarga makin membesar, ni anak-anak tak besar remaja lagi, dah remaja auto dah kena tempah bilik asing dah, kan?
So yang tak nak berjalan kat tempat sesak, pergi situ sini pun beratur, nak makan pun beratur, nak ambil gambar pun beratur, nak beli tiket pun beratur, pilihlah Pekan Pahang, banyak tempat free boleh lawat. Tenang pun ye. Syukur Alhamdulillah.